MUNICH – Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pengendali baharu untuk skuad kebangsaan mereka selepas pemecatan Julian Nagelsmann ekoran penyingkiran awal Die Mannschaft di Piala Dunia kali ini.
Menerusi satu kenyataan rasmi, DFB mengesahkan mereka telah menamatkan pusingan pertama rundingan dengan Jurgen Klopp yang menjadi calon utama untuk mengambil alih pasukan.
Presiden DFB, Bernd Neuendorf dan naib presiden, Hans-Joachim Watzke mengadakan pertemuan yang disifatkan sebagai “konstruktif” bersama jurulatih dari Jerman itu.
“Dalam pertemuan yang konstruktif ini, persetujuan telah dicapai mengenai perkara-perkara asas bagi sebuah kontrak yang berpotensi dimeterai,” menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.
Rundingan akan diteruskan pada minggu hadapan dan kedua-dua pihak kekal optimis untuk mencapai persetujuan muktamad, namun situasi kontrak Klopp bersama Red Bull Group masih perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Penyingkiran Jerman di tangan Paraguay pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 menjadi satu lagi episod mengecewakan buat negara yang masih berusaha mengembalikan kedudukannya sebagai antara kuasa besar bola sepak dunia.
Sejak menjulang trofi Piala Dunia di Brazil pada tahun 2014, Jerman melalui tempoh yang sukar di pentas bola sepak antarabangsa apabila tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia Rusia 2018 dan Qatar 2022.
Pegawai-pegawai DFB percaya bahawa Klopp ialah calon paling sesuai untuk memulakan era baharu buat skuad kebangsaan Jerman berdasarkan reputasi beliau di peringkat antarabangsa, kebolehan yang terbukti dalam membangunkan pemain muda.
DFB juga turut ‘berkenan’ dengan falsafah bola sepak Klopp menekankan tekanan tinggi, intensiti permainan dan serangan balas pantas menjadikannya pilihan paling tepat untuk mengembalikan Jerman ke puncak bola sepak dunia. – AGENSI















