DALLAS – Aksi separuh akhir menentang Perancis, awal pagi esok dilabel sebagai perlawanan akhir pertama buat Sepanyol yang memburu pentas final Piala Dunia buat kali pertama sejak 2010.
Walaupun Les Blues dilabel sebagai pilihan untuk menjuarai edisi kali ini, pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente percaya La Roja memiliki kemampuan untuk menyingkirkan Perancis yang hadir sebagai naib juara Piala Dunia 2022.
“Tidak keterlaluan untuk mengatakan perlawanan ini adalah aksi final sebelum final sebenar. Kami juga menjadi salah satu pasukan yang mampu melayakkan diri ke perlawanan akhir.
“Jadi, bermula daripada sekarang, kami beri fokus penuh terhadap Perancis. Kami mempunyai jangkaan tinggi untuk hadapi perlawanan ini dan sedar potensi yang ada pada pasukan lawan.
“Namun, kami juga tahu yang kami adalah pasukan tunggal yang pernah mengalahkan mereka di dua aksi separuh akhir,” katanya.
Sebelum ini, Sepanyol berjaya mengalahkan Perancis di separuh akhir Euro 2024 hingga dijulang sebagai juara, malah La Roja juga tewaskan Les Blues di peringkat sama pada kempen Piala Negara-Negara Eropah 2025.
De la Fuente anggap perhitungan kali ini akan mempertemukan dua pasukan yang memiliki dua karakter berbeza sekali gus mampu menghadirkan aksi menarik buat peminat.
Di sebalik rasa hormat terhadap Les Blues, De La Fuente menjelaskan semua faktor itu harus diketepikan buat sementara dan semua pemain perlu sedar tanggungjawab yang sedang dipikul ketika ini.
“Ia menjadi perlawanan yang menarik antara dua pasukan terbaik dunia. Kami yakin untuk menang bukan kerana sebab sokongan tetapi kerana kualiti pemain yang kami ada,” katanya.
Walaupun memiliki rekod agak baik, De La Fuente tetap waspada kerana perlawanan kali ini masih bersifat terbuka buat kedua-dua pasukan dan menuntut aksi lebih baik mampu dijelmakan oleh pemainnya.
“Saya fikir perlawanan ini masih lagi terbuka. Perancis sedang berada pada prestasi terbaik dan kami perlu bermain dengan cara yang berbeza.
“Kami kena hormati mereka namun kami kena hadir dalam keadaan terbaik. Kami perlu tingkatkan lagi kualiti permainan dan kena beri segala-galanya dan dalam masa saya, saya fikir kami ada kemampuan untuk menang,” katanya. – AGENSI















