PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk membenci antara satu sama lain.
Menerusi hantaran di laman media sosial, Hannah berkata, persaingan politik perlu dilakukan secara matang tanpa mengorbankan nilai hormat dan kemanusiaan.
Menurutnya, seseorang itu tidak seharusnya dimusuhi hanya kerana memilih haluan politik berbeza atau tidak lagi berada dalam parti sama.
“Hanya kerana kita tidak lagi berkongsi logo parti atau berada di pentas yang sama, itu tidak bermaksud kita perlu membenci antara satu sama lain.
“Penyokong semua pihak terutama generasi muda perlu memahami perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Hannah berkata, sepanjang 18 tahun dalam politik, beliau telah melalui beberapa perpisahan dengan sahabat politik yang memilih jalan berbeza termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Katanya, politik Malaysia sewajarnya dibina atas persaingan idea dan dasar, bukannya serangan peribadi atau kebencian melampau.
“Berkempenlah atas dasar idea, bukan serangan peribadi. Jangan terlalu ghairah menjatuhkan sesama sendiri sehingga hilang nilai hormat dan kemanusiaan,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Hannah turut meluahkan rasa sedih dengan peletakan jawatan Nik Nazmi sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa yang disifatkannya sebagai seorang sahabat baik sejak tahun 2008.
Menurutnya, mereka pernah bersama-sama berkhidmat di Selangor sebelum dilantik sebagai Ahli Parlimen dan menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Katanya, apabila dunia politik kembali tenang, yang tinggal akhirnya ialah nilai persahabatan dan ihsan sesama manusia.- KOSMO! ONLINE














