ALOR SETAR – Dua mayat ditemukan terapung pada jarak kira-kira 100 meter antara satu sama lain di sungai berhampiran Ampang Jajar, di sini pagi ini.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai lelaki berusia 46 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Ketua Zon Kota Setar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd. Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan satu mayat di lokasi itu kira-kira pukul 8.45 pagi.
“Setibanya di lokasi didapati terdapat satu mayat lelaki dewasa terapung dan tersangkut pada tumbuhan berhampiran jambatan. Kira-kira pukul 10.16 pagi, kita menerima maklumat orang awam memaklumkan menjumpai seorang lagi mangsa terapung pada jarak 100 meter dari mangsa pertama,” katanya di sini hari ini.
Katanya, anggota bomba membuat pemantauan di lokasi kejadian dan melakukan persediaan untuk mengangkat mayat, namun polis memohon agar proses itu ditangguhkan sementara menunggu kehadiran pegawai penyiasat bagi tujuan siasatan lanjut.
“Setelah diberi kebenaran oleh polis, mayat pertama dibawa ke tebing dengan menggunakan jengkaut, manakala mayat kedua dibawa naik menggunakan bot,” ujarnya.
Tambahnya, mayat kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














