RANTAU PANJANG – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melecur kedua-dua belah kakinya ketika cuba menyelamat keretanya daripada hangus dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Kampung Banggol Setol di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul,11.50 malam itu, mangsa, Mohamad Izuddin Che Razali, 31, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu selepas kedua-dua belah kakinya melecur akibat terkena api yang membakar rumahnya.
Isteri mangsa, Nor Ilyati Asmeera Alrmee, 31, berkata, suaminya yang ketika itu berada di luar rumah bergegas membawa keluar kereta jenis Proton Waja yang berada di bawah garaj sebaik menyedari api membakar rumahnya.
Katanya yang juga merupakan anggota Rela, ketika kejadian, dia sedang melipat pakaian sebelum tiga anaknya berusia dalam lingkungan enam hingga 11 tahun ternampak api membakar dinding rumah
“Saya hanya sempat mencapai telefon bimbit dan menjerit meminta semua anak-anak supaya keluar menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu. Saya terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan wang simpanan sebanyak RM3,500 yang berada di dalam rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Rantau Panjang, Mohd. Razali Che Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.51 malam.
Menurutnya, kebakaran tersebut melibatkan tiga buah rumah yang musnah kira-kira 70 hingga 90 peratus dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














