fbpx
Antara sukarelawan Orang Asli Kampung Ampang Woh di Tapah yang terlibat dalam operasi SAR Jaslinda.

Orang Asli terlibat SAR terima bantuan tanda penghargaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyalurkan bantuan kepada keluarga sukarelawan Orang Asli yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini pada 24 Mei lalu.

Jakoa dalam hantaran di Facebook hari ini berkata, pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu semalam merupakan tanda penghargaan kepada komuniti tersebut.

“Seluruh negara bersyukur dengan berita Jaslinda ditemui dalam keadaan selamat semalam.

“Dalam tempoh SAR yang dijalankan, pelbagai pihak telah bertungkus-lumus memainkan peranan besar termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bomba selain masyarakat Orang Asli yang turut membantu dalam misi tersebut.

“(Mereka) meninggalkan keluarga tercinta dan masuk ke hutan untuk satu misi yang sama, salah satu wira yang harus dipuji. Tahniah dan syabas!,” katanya hari ini.

Jakoa berkata, dalam kenyataan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, beliau merakamkan penghargaan kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat.

Beliau berkata, bantuan telah disalurkan kepada keluarga sukarelawan melalui Jakoa Negeri Perak dan Kedah.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila menerima khabar mengenai Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih, Perak telah ditemui dalam keadaan selamat petang tadi (semalam).

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan serta masyarakat Orang Asli yang bertungkus-lumus membantu sepanjang operasi ini dijalankan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu dan Kampung Orang Asli Ampang Woh yang turut memainkan peranan sehingga membawa kepada penemuan Jaslinda dalam keadaan selamat.

“Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka, Jakoa turut menyalurkan bantuan kepada keluarga sukarelawan Orang Asli yang terlibat dalam operasi ini.

“Sama-sama kita mendoakan semoga Jaslinda terus diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan dapat segera kembali bersama keluarga tersayang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN