PETALING JAYA – Seorang lelaki yang sebelum ini meninggalkan komen meramalkan pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih akan ditemui di sekitar Pos Musoh menjadi perhatian warga maya selepas tekaan tersebut dilihat bertepatan dengan lokasi mangsa ditemukan.
Perkara itu tular menerusi satu hantaran di aplikasi Threads oleh pengguna salamyahya84 yang berkongsi tangkap layar komen dibuat lelaki berkenaan beberapa hari sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemukan Jaslinda Saludin.
“Pakcik ni tak kosong guys (semua orang). Lima hari lalu pakcik ni cakap Puan Jaslinda akan dijumpai di Pos Musoh. Hebat jangkaan pakcik ni, mungkin pakcik ni amat arif dengan selok-belok hutan berhampiran. Syukur Puan Jaslinda selamat ditemui,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam tangkap layar tersebut, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Safarudin Daud Dinmuneh meninggalkan komen yang menyatakan kemungkinan besar individu hilang itu akan dijumpai di sekitar Pos Musoh.
“Kemungkinan besar dia akan dijumpai sekitar Pos Musoh.. Insya-Allah,” kata Safarudin Daud Dinmuneh dalam tangkap layar komen itu.
Selepas Jaslinda ditemui, ruangan komen itu dipenuhi pelbagai reaksi pengguna media sosial yang menyifatkan jangkaan lelaki terbabit sebagai tepat.
“Masya-Allah tuan, tepat sekali amatan tuan, syukur Alhamdulillah,” kata Linda Mohd Zin.
“Hebatlah bang,” kata Othman Bin Rejab.
“Dengan izin Allah benar kata-kata tuan,” kata Mysha Afena Ibrahim.
Semalam, Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 14 hari lalu ditemukan dalam keadaan selamat.
Operasi SAR diaktifkan pada 25 Mei selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang mengalami kecederaan kaki sebelum itu berhenti berehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core sebelum dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan gagal dikesan. – KOSMO! ONLINE














