fbpx
Longkang yang tidak dalam dengan arus sederhana laju dan persekitaran berbatu seperti ini merupakan habitat kegemaran Jaguar cichlid di kawasan ibu kota.

Aktiviti ‘urban fishing’ buru Jaguar cichlid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ikan Jaguar cichlid atau nama saintifiknya Parachromis managuensis ini berasal dari Amerika Tengah, meliputi negara seperti Honduras, Nicaragua, Costa Rica dan Guatemala.

Habitat asalnya terdiri daripada tasik, empangan serta sungai yang berarus perlahan dengan struktur batu, kayu tumbang dan tumbuhan akuatik sebagai tempat persembunyiannya.

Nama saintifiknya diambil daripada habitat asalnya, Tasik Managua di Nicaragua, manakala gelaran ‘jaguar’ pula merujuk kepada corak badannya yang menyerupai haiwan pemangsa tersebut.

Di habitat asal, spesies ikan ini mampu membesar sehingga melebihi 60 sentimeter (sm) panjang dengan berat sekitar empat kilogram (kg).

Di Malaysia

Ikan yang asalnya dibela untuk industri akuarium di negara kita ini mempunyai corak badan bertompok hitam cantik menyebabkan ia dibela ramai orang pada suatu ketika dahulu.

Berkemungkinan disebabkan lambakan, ia dilepaskan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ke perairan awam.

Set pancing layang wt.1-3 sudah memadai untuk ikan pendatang ini.

Lama-kelamaan, spesies ini berjaya menyesuaikan diri dan membiak di beberapa lombong tinggal, tasik rekreasi serta sistem perairan yang sesuai terutamanya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Jika 20 hingga 30 tahun dahulu ikan ini boleh dijumpai di merata longkang, kolam dan tasik di Lembah Klang, namun kini populasinya kelihatan berkurangan. Ia mungkin kerana dido­minasi oleh spesies ikan pendatang yang lebih berkuasa seperti keli Afrika, baung ekor merah, ikan bandaraya dan peacock bass.

Menariknya, ikan ini bukan sahaja cantik di dalam akuarium, malah ia terkenal dengan sifat agresif dan kesudiannya menyambar gewang dan umpan pancing layang.

Walaupun saiznya tidak sebesar mana, namun tentangan yang diberikannya cukup menghiburkan, terutama apabila dilayan menggunakan set pancing ultra-light.

Namun di negara kita, kebanyakan ikan Jaguar cichlid yang berjaya dipan­cing berada dalam lingkungan saiz 20 hingga 40sm sahaja, jarang sangat kedengaran ada pemancing yang dapat lebih besar daripada itu.

Sebagai ikan pemangsa, Jaguar cichlid menjadikan ikan kecil, udang, katak dan pelbagai hidupan akuatik lain sebagai makanan utama. Ia gemar bersembunyi di celah-celah reba atau batu sebelum melakukan serangan hendap terhadap mangsanya.

Corak pemburuan itu yang menyebabkan spesies ini mudah diperdayakan menggunakan gewang.

Main gewang

Bagi pemancing yang ingin memburu ikan pendatang ini, teknik casting merupakan pilihan paling popular.

Gewang jenis minnow dan soft plastic saiz mikro sering menghasilkan sambaran jika dimainkan berhampiran struktur seperti reba, tebing berbatu atau rumpair.

Ikan Jaguar cichlid ini juga seronok dipancing menggunakan set pancing layang.

Karauan gewang secara stop-and-go, diselang-seli dengan sentapan pendek atau twitch, sering mencetuskan tindak balas agresif daripada ikan kerana aksi gewang akan mimik ikan kecil yang cedera.

Selain itu, penggunaan micro jig di kawasan air yang lebih dalam juga mampu menarik perhatian spesies ini.

Set pancing antara 2-6 atau 4-8 paun (lb) sudah memadai untuk memberikan pengalaman pertarungan yang menyeronokkan. Dipadankan dengan tali utama 4 hingga 6lb dan perambut fluorocarbon sekitar 8 hingga 10lb, kombinasi ini cukup sesuai untuk mengekang larian ikan ini yang gemar meluru ke arah struktur.

Satu lagi keunikan Jaguar Cichlid adalah sifat territorial yang sangat tinggi. Ketika musim pembiakan, pa­sangan induk akan menjaga telur dan anak-anak secara bergilir-gilir.

Pada waktu ini, kedua-duanya menjadi amat agresif dan akan menyerang apa sahaja yang menghampiri sarangnya berupa kawah seperti kuali, termasuk gewang melintasi kawasan tersebut.

Walaupun ikan ini menawarkan pengalaman memancing yang mengujakan, namun Jaguar Cichlid tetap dikategorikan sebagai ikan pendatang.

Penulis dengan seekor ikan Jaguar cichlid yang digoda menggunakan soft plastic mikro.

Kehadirannya berpotensi memberi tekanan kepada populasi ikan tempatan melalui persaingan mendapatkan makanan dan habitat, selain memangsa anak-anak ikan tempatan.

Atas sebab itu, pelepasan spesies eksotik dan invasif seperti Jaguar cichlid ini ke perairan umum tanpa kawalan tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengganggu keseimbangan ekosistem.

Bagi kaki casting, Jaguar Cichlid sememangnya memberikan satu lagi pilihan spesies untuk diburu.

Sambarannya yang kasar, larian bertenaga dan sifatnya tidak mudah mengalah menjadikan setiap pertarungan cukup menghiburkan.

Namun, dalam keterujaan memburu predator dari benua Amerika ini, pemancing juga perlu memainkan peranan menjaga kelestarian perairan tempatan agar biodiversiti negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN