KLANG – Seorang lelaki dicekup ketika dipercayai sedang mencuri kabel di kawasan landasan kereta api di Kilometer (KM) 36.215 Downline Klang, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu terbongkar apabila anggota Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menjalankan rondaan bersama Pasukan Taskforce D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat mengenai gangguan litar landasan di lokasi berkenaan.
KTMB berkata, pasukan berkenaan kemudian bergegas ke lokasi sebelum mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang merentap dan memotong kabel di kawasan landasan.
“Suspek berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota Polis Bantuan KTMB dengan bantuan Pasukan Taskforce D4 JSJ IPD Klang Selatan.
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa gulung kabel serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut oleh pasukan teknikal mengesahkan gangguan litar landasan berkenaan berpunca daripada kegiatan mencuri kabel tersebut.
Katanya, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada polis bagi siasatan dan tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE.














