AMPANG JAYA – Polis giat mengesan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan video tular tersebut kira-kira pukul 5 petang semalam yang memaparkan beberapa individu sedang mengeluarkan dan memunggah kabel dari sebuah lubang manhole di tepi lebuh raya.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati satu laporan telah dibuat oleh seorang lelaki tempatan berhubung kejadian berkenaan sehari sebelum video itu tular.
“Pengadu memaklumkan pada 4 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 tengah hari, dia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum ternampak sebuah kenderaan jenis Honda Odyssey berwarna kelabu berada di lokasi berkenaan.
“Pengadu turut melihat empat lelaki yang identitinya tidak dapat dipastikan sedang memunggah kabel yang telah dipotong pendek ke dalam kenderaan tersebut sebelum mereka beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pengadu sempat merakam kejadian tersebut sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sekumpulan individu dipercayai mengambil kesempatan menjalankan kegiatan mencuri kabel di tepi jalan di Liberty ARC, di sini dalam kejadian yang dirakam seorang pengguna jalan raya sebelum tular di TikTok. – KOSMO! ONLINE














