fbpx
Noraida menunjukkan gambar kenangan bersama arwah Norazeman ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah hari ini. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

Drebar lori ayam maut baru tiga hari bekerja lepas hampir dua bulan cuti sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan treler di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Batu 6, Batang Merbau di sini hari ini baru tiga hari kembali bekerja selepas bercuti sakit.

Nahas pada pukul 4 pagi itu mengorbankan Norazeman Abdul Aziz, 42, yang merupakan pemandu kedua, Mohammad Zakwan Mohd. Nor, 25, pemandu utama dan Mohamad Haikal Hanifah, 28.  Ketiga-tiga mangsa yang menaiki lori membawa muatan ayam maut di lokasi akibat tersepit.

Isteri Norazeman, Noraida Talib, 46, berkata, hari ini merupakan hari ketiga suaminya kembali bertugas selepas bercuti selama hampir dua bulan kerana menghidap gout dan penyakit saraf.

Katanya, arwah suami sepatutnya tiba ke rumah mereka di Kampung Gong Nangka, Wakaf Raja, Pasir Puteh hari ini selepas mengambil bekalan ayam bersama Mohammad Zakwan dan Mohamad Haikal dari Kedah.

“Saya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan suami meninggal dunia dalam kemalangan bersama dua lagi rakan.

“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah malam tadi selepas dia menghubungi dan bertanya mengenai makanan anak-anak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.

Noraida berkata, suaminya yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai pemandu lori tidak dapat bekerja selepas Aidiladha baru-baru ini selepas menghidap penyakit gout dan saraf, malah dia tidak sempat menerima wang pemberian suami yang mendapat upah selepas tiga hari bekerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN