CYBERJAYA – Jabatan Imigresen mengesahkan wujud peningkatan kes penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja atau menjalankan aktiviti ekonomi di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam konteks ini, sejumlah 1,279 tangkapan dibuat pada 2023, sebelum meningkat kepada 2,644 kes pada 2024 dan 2,630 kes pada 2025.
Katanya, sebanyak 451 tangkapan dicatatkan setakat 15 Julai tahun ini.
“Individu terbabit masuk menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelancong, namun melakukan pekerjaan atau aktiviti ekonomi yang menyalahi syarat pas diberikan.
“Kita akan terus memburu mereka yang menyalahgunakan kemudahan ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang imigresen,” katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di sini hari ini.
Katanya, setakat 15 Julai lalu, sebanyak 7,105 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara dengan penahanan 41,596 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Zakaria berkata, tindakan itu selaras dengan penetapan tahun 2026 sebagai Tahun Penguatkuasaan bagi memperhebat operasi terhadap individu yang menyalahgunakan dokumen imigresen dan melanggar Akta Imigresen.
Menurutnya, imigresen turut mengambil tindakan terhadap 1,127 majikan yang didapati melindungi atau menggaji warga asing tanpa permit atau pas yang sah.
“Ini menunjukkan kita tidak lagi berkompromi soal penyalahgunaan peraturan dan Akta Imigresen,” katanya.
Mengulas Program Repatriasi Migran 2.0 pula, Zakaria berkata, sehingga 15 Julai lalu seramai 275,755 warga asing dari 114 negara telah menyertai program tersebut yang turut menjana hasil kerajaan sebanyak RM137.76 juta.
Beliau berkata, program itu merupakan pendekatan alternatif bagi membolehkan pendatang asing tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela sekali gus mengurangkan tekanan terhadap kapasiti pusat tahanan imigresen.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 63,475 Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu telah dikeluarkan sejak pelaksanaannya bermula pada 1 Julai hingga 17 Julai lalu.
Katanya, pelaksanaan pasport baharu itu kini memasuki fasa ketiga dengan beberapa pejabat pasport di seluruh negara sudah mula mengeluarkan dokumen perjalanan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














