KINSHASA – Lebih 2,000 kes demam berdarah Ebola, termasuk 754 kematian direkodkan di Republik Demokratik Congo(DRC) di mana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak kali ini dipercayai dua hingga empat kali lebih besar daripada angka rasmi yang disiarkan.
Jangkitan Ebola telah merebak ke lima wilayah di negara Afrika Tengah itu, demikian menurut angka terkini pihak berkuasa kesihatan DRC semalam.
Sehingga kini, tiada vaksin atau rawatan khusus untuk varian Ebola Bundibugyo yang menjadi punca wabak, namun ujian klinikal pertama ubat antiviral Bundibugyo bermula kelmarin, kata WHO.
Pertubuhan perubatan amal, Doktor Tanpa Sempadan(MSF) turut memberi amaran semalam bahawa wabak itu merebak pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Dalam tempoh kurang lima minggu, bilangan kes disahkan meningkat tiga kali ganda, manakala angka korban pula melonjak lebih lima kali ganda,” kata MSF.
Menurutnya, wabak itu telah melepasi separuh daripada bilangan kes yang direkodkan semasa epidemik Ebola 2018-2020 di DRC, berlarutan hampir dua tahun.
Ketua kecemasan WHO, Chikwe Ihekweazu berkata kelmarin bahawa 80 peratus kes baharu tidak berada dalam senarai kontak yang diketahui dan berpunca daripada ‘rantaian penularan tidak diketahui’. – AFP















