fbpx
Jho Low

Kerajaan nafi rundingan pakej bayaran 1MDB dengan Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan wujud rundingan pakej pembayaran semula bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low serta delegasi China.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya menafikan tuduhan tersebut. Terima kasih,” katanya ringkas.

Terdahulu, Syed Saddiq membangkitkan dakwaan berdasarkan laporan Sarawak Report dan Wall Street Journal (WSJ) berhubung Jho Low bersama delegasi China yang didakwa memasuki Malaysia bagi merundingkan pakej pembayaran semula 1MDB.

Menurut Syed Saddiq, sehingga kini belum ada pengesahan daripada kerajaan berhubung dakwaan berkenaan.

“Ya betul negara rugi lebih RM51 bilion. Dan Datuk Seri Najib Razak telah menerima hukuman yang setimpal. Lebih 20 tahun penjara dan lebih RM20 bilion denda.

“Persoalan saya, sampai ke hari ini, ‘mastermind’ 1MDB iaitu Jho Low masih bebas dan tiada tindakan susulan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, laporan daripada wartawan penyiasatan yang diterbitkan Sarawak Report dan WSJ mendakwa Jho Low bersama delegasi China memasuki Malaysia bagi tujuan rundingan berhubung pakej pembayaran 1MDB.

Beliau berkata, perkara itu membabitkan Kementerian Kewangan kerana sekiranya rundingan berlaku, wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun kewangan bawah kelolaan kementerian tersebut.

“Persoalan saya, sampai ke hari ini belum dapat pengesahan daripada kerajaan.

“Adakah betul Jho Low bersama dengan delegasi China masuk ke dalam Malaysia runding berkenaan 1MDB walaupun satu Malaysia kenali beliau sebagai perompak terbesar yang melakukan jenayah 1MDB?” katanya.

Beliau turut berharap jawapan berhubung perkara itu diberikan kerajaan kerana menyifatkan isu berkenaan sebagai serius.

“Saya harap jawapan ini dapat diberikan. Jangan ‘taici’ kepada kementerian lain kerana ini merupakan sebuah jambatan yang sangat serius daripada kerajaan Malaysia,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN