KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan projek Jana Wibawa ditangguhkan di Mahkamah Tinggi di sini.
Ia berikutan apabila abang ipar Muhyiddin meninggal dunia pada pagi hari ini.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin yang kemudian menangguhkan prosiding ke Isnin turut mengucapkan takziah kepada Muhyiddin dan keluarganya.
Sepatutnya perbicaraan hari ini diteruskan dengan soal balas saksi pendakwaan ke-13, Pengarah Nepturis Sdn Bhd, Aliza Abdul Malek.
Terdahulu, peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan mahkamah bahawa abang ipar Ahli Parlimen Pagoh itu meninggal dunia pagi tadi.
“Pihak pembelaan memohon jasa baik mahkamah untuk mengizinkan anak guam kami untuk menziarahi arwah dan menunaikan solat sunat jenazah di Johor.
“Oleh itu, pohon supaya perbicaraan pada hari ini dilapangkan dan disambung pada prosiding perbicaraan pada minggu hadapan (13 Julai),” katanya.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah entiti yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE















