RIO DE JANEIRO – Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo Nazario menggesa Neymar supaya tidak terburu-buru membuat keputusan untuk bersara daripada pentas antarabangsa selepas kecewa Brazil tersingkir pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Penyerang Santos itu dilihat cukup emosional sejurus Brazil pulang awal selepas tumbang kepada Norway 1-2, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa aksi tersebut mungkin penampilan terakhirnya bersama skuad Selecao.
Bagaimanapun, Ronaldo berpendapat selepas kekalahan di pentas Piala Dunia, ia bukan waktu yang sesuai untuk membuat keputusan besar mengenai masa depan karier antarabangsa.
“Jangan terlalu menekan diri sendiri dan jangan buat sebarang keputusan sekarang. Tidak perlu tergesa-gesa kerana tiada siapa yang perlu menyelesaikan perkara itu ketika ini,” katanya.
Pemenang Piala Dunia 2002 itu percaya Neymar memerlukan sedikit masa untuk menenangkan fikiran sebelum menentukan hala tuju kariernya bersama Brazil.
Ronaldo turut yakin Neymar masih memiliki kemampuan luar biasa dan hanya memerlukan kecergasan fizikal serta minit permainan yang konsisten di peringkat kelab untuk kembali ke prestasi terbaik.
“Dia masih mempunyai semua kualiti teknikal. Apa yang diperlukan sekarang ialah kecergasan supaya dia boleh kembali menjadi pemain yang menentukan keputusan perlawanan,” jelasnya.
Malah, Ronaldo percaya ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti masih boleh mempertimbangkan khidmat Neymar menjelang Piala Dunia 2030 sekiranya bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu berjaya mengekalkan tahap kecergasan serta prestasinya.
Setakat ini, Neymar masih belum mengumumkan persaraan rasmi daripada bola sepak antarabangsa walaupun kenyataannya selepas kekalahan kepada Norway memberi bayangan bahawa perjalanan bersama Brazil mungkin sudah berakhir. – AGENSI















