LANGKAWI – Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merosakkan objek yang menjadi simbol keagamaan penganut agama Hindu, Mac lalu.
Tertuduh, Tamim Dahri, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Hemy Annerina Haja Mydin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merosakkan tombak cabang tiga atau soolam yang menjadi simbol keagamaan penganut agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Muniswarar, Selat Panchor, Kuah di sini antara pukul 3.30 petang hingga 6.30 petang, 8 Mac lalu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan pengetahuan bahawa perbuatan memijak objek itu adalah menghina agama Hindu. Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Sofea Noridan, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan meminta tiada jaminan diberikan dengan alasan tertuduh mempunyai kecenderungan untuk melarikan diri menggunakan laluan tikus yang digunakannya kerana tiada rekod tertuduh masuk semula ke negara ini.
Peguam kemudian menyangkal dengan menyatakan tertuduh tidak mempunyai pilihan untuk masuk semula ke negara ini kerana pasport tertuduh telah dibatalkan susulan waran tangkap yang dikeluarkan selepas pertuduhan pertama pada 17 Mac lalu. Selain itu, pertuduhan di bawah Seksyen 295 KK merupakan kesalahan yang boleh dijamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh diminta melapor diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu. Tertuduh difahamkan akan membayar jaminan tersebut. Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes pada 23 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE














