fbpx
Jaslinda (tengah) sebelum dibawa ke Hospital Tapah malam tadi - Foto IHSAN JBPM

Polis tunggu Jaslinda pulih sebelum rakam keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Polis akan mengambil keterangan daripada pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas hilang selama 15 hari di kawasan Gunung Batu Putih sebaik sahaja keadaan kesihatannya mengizinkan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, buat masa ini keutamaan diberikan kepada Jaslinda untuk menerima rawatan sebelum proses rakaman percakapan dijalankan.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah orang hilang (OH) sejak 23 Mei lalu dan keterangan daripada mangsa penting bagi menentukan arah tuju siasatan lanjut.

“Polis akan mengambil kenyataan daripada Jaslinda apabila keadaannya membenarkan.

“Ketika ini, fokus utama adalah memastikan dia mendapat rawatan yang sewajarnya. Siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut akan dilakukan selepas itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Abdul Malik, buat masa ini, Jaslinda masih dirawat di Hospital Tapah selepas dibawa keluar dari perkampungan Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh semalam.

Katanya, setakat ini wanita berkenaan disahkan mengalami kecederaan pada bahagian buku lali kaki kiri.

“Bagaimanapun, keadaan kesihatan keseluruhan mangsa masih memerlukan penilaian lanjut oleh pihak hospital dan polis akan mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak berkenaan,” katanya.

Jaslinda yang hilang sejak 23 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Capman di Gunung Batu Putih ditemui penduduk Orang Asli pada pukul 5.10 petang semalam.

Dia ketika itu dilihat berjalan dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN