fbpx
Gambar hiasan.

Penyelam skuba lemas di Pulau Tioman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Kegembiraan sekumpulan penyelam skuba melakukan selaman di Pulau Tioman berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas Ahad lalu.

Difahamkan mangsa Heng Jing Ying, 31, yang berasal dari Kuala Lumpur dan mempunyai lesen selaman ‘Advance’ menyertai aktiviti Aware Coral bermula 17 Julai lalu di Kampung Genting Tioman di sini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa bersama sembilan orang peserta, seorang pengajar dan seorang ‘dive master’ melakukan aktiviti selaman di Seafan Batu Malang, Pulau Tulai di sini pada Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat awal mangsa dan kumpulannya telah diberikan taklimat berkaitan keselamatan serta penggunaan peralatan yang berkaitan walaupun mangsa dan kumpulannya mempunyai lesen menyelam.

“Pada kedalaman 17.6 meter mangsa dipercayai hilang daripada kumpulannya dan usaha mencari telah dibuat oleh jurulatih di kawasan selaman.

“Pencarian hampir 30 minit telah menemukan mangsa terdampar di dasar berpasir tidak jauh daripada kawasan selaman dan mangsa dibawa ke bot dan bantuan pernafasan telah dibuat tetapi tiada tindak balas,”katanya di sini hari ini.

Menurut Sharif Shai mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Tekek di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Hasil pemeriksaan dan bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘arterial gas embolism’ (AGE) gelembung gas atau udara memasuki saluran darah arteri. 

“Setakat ini siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah yang berkaitan dengan kejadian tersebut dan siasatan masih giat dilakukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN