fbpx
Mohamad ketika sesi perbincangan bersama pihak MPI hari ini.

KPKM, MPI bincang forum makanan, komunikasi strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkukuh kerjasama strategik bersama Malaysian Press Institute (MPI) menerusi pelbagai program berkaitan komunikasi, media dan keterjaminan makanan negara tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara program yang dibincangkan termasuk penganjuran Forum Keterjaminan Makanan, Bengkel Komunikasi Strategik serta Majlis Anugerah Kewartawanan Kementerian.

Menurut beliau, usaha itu penting bagi memperkukuhkan hubungan antara kementerian dan pengamal media dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.

“Dalam dunia hari ini, isu makanan bukan lagi sekadar soal pertanian semata-mata, tetapi turut melibatkan persepsi, keyakinan rakyat dan cara maklumat disampaikan kepada masyarakat.

“Sebab itu komunikasi yang tepat, bertanggungjawab dan berfakta amat penting supaya rakyat mendapat maklumat yang jelas serta tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan keresahan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial semalam.

Mohamad berkata, media memainkan peranan besar sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat terutama dalam membantu negara berdepan cabaran global.

Katanya, laporan yang seimbang, kritikan membina dan penyampaian maklumat tepat amat diperlukan ketika dunia berdepan isu perubahan iklim, krisis geopolitik serta gangguan rantaian bekalan makanan.

“Insya-Allah, kerjasama strategik antara KPKM dan pihak media akan terus diperkukuh demi memastikan agenda ‘Cukup dan Terjamin’ dapat difahami dan dirasai manfaatnya oleh seluruh rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN