PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menegaskan komitmen mengutamakan kebajikan warga kerjanya, termasuk aspek penempatan dan pertukaran pegawai.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penempatan pegawai dibuat berdasarkan keperluan perkhidmatan melibatkan waran perjawatan, kekosongan serta kesesuaian gred.
Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025, sebanyak 2,860 permohonan pertukaran telah diterima, dengan 1,332 daripadanya diluluskan.
“Sesungguhnya kehilangan ini amat dirasai. Allahyarham Azman Mazni bukan sahaja seorang suami, ayah dan anak yang dikasihi, malah sebahagian daripada keluarga besar Jabatan Imigresen.
“Seluruh warga JIM menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, permohonan pertukaran Allahyarham yang dikemukakan pada 10 Ogos 2025 juga berada dalam senarai pertimbangan berdasarkan keutamaan semasa.
Ujarnya, JIM akan terus menambah baik urusan penempatan dan memberi sokongan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Azman Mazni meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 25 April 2026 ketika pulang dari bertugas.
Kisah pengorbanannya yang sanggup menempuh perjalanan lebih 700 kilometer (km) hampir setiap minggu demi bertemu keluarga turut meruntun hati ramai orang.- KOSMO! ONLINE














