KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran serta kenaikan pangkat melibatkan 19 pegawai kanan dalam usaha memperkukuh struktur organisasi dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Setiausaha PDRM, Datuk Abdul Rahman Kassim berkata, antara pertukaran utama melibatkan Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan memangku gred VUYA5 (Jusa A).
Menurutnya, Timbalan Pengarah (Fasiliti/Bekalan/Aset) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Zakaria Ismail sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Manakala, Ketua Penolong Pengarah (Pengangkutan) Bahagian Teknikal/Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Abu Bakar menggantikan tempat Zakaria.
Turut terlibat dalam pertukaran itu ialah beberapa pegawai kanan lain melibatkan Asisten Komisioner dan Superintendan yang ditempatkan di pelbagai jabatan serta kontinjen di seluruh negara.
Katanya, perubahan tersebut merangkumi pelantikan ke jawatan strategik seperti ketua polis daerah, timbalan pengarah jabatan serta ketua jabatan di peringkat negeri dan Bukit Aman.
Pertukaran ini melibatkan penstrukturan semula di beberapa jabatan termasuk Jabatan Logistik dan Teknologi, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
Ia juga melibatkan pelantikan pegawai sebagai ketua polis daerah di beberapa lokasi seperti Gombak, Shah Alam, Klang Utara, Seremban dan Setiu. – KOSMO! ONLINE














