SHAH ALAM – Sekumpulan pencuri kabel pada waktu subuh yang tular sebelum ini tumpas apabila enam suspek diberkas polis dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Kesemua suspek lelaki tempatan berusia 26 hingga 40 tahun itu ditahan antara 4 Mei hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, semakan mendapati semua suspek mempunyai tujuh hingga 31 rekod jenayah lampau termasuk dadah.
Katanya, hasil saringan air kencing mendapati empat daripada mereka turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamin.
“Serbuan itu turut merampas sebuah Nissan Navara, tiga gulung kabel milik Telekom Malaysia dan peralatan digunakan suspek ketika mencuri kabel,” katanya hari ini.
Tambah Ramsay, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kejadian curi kabel yang tular pukul 6 pagi itu disedari seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga penduduk kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














