GOMBAK – Polis mengesan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian empat buah rim tayar milik sebuah kenderaan di sebuah rumah di Taman Desa Minang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan pada hari sama dengan kejadian dipercayai berlaku pukul 6.05 pagi melibatkan dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda EX5.
“Seorang daripada suspek memanjat pagar rumah sebelum melarikan empat buah ‘sportrim’ jenis CE28 berwarna coklat. Kedua-dua mereka kemudian beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd. Zulhilmie Mohd. Noor di talian 013-4101262 atau Bilik Gerakan IPD Gombak menerusi talian 03-6126 2222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














