SUNGAI PETANI – Seorang bayi lelaki berusia 13 hari mengalami patah tulang paha didakwa ketika menerima rawatan akibat penyakit jaundis di sebuah hospital di daerah ini.
Bapa bayi terbabit, Muhammad Nor Fadly Mohd Shaidi, 38, berkata, dia dan isterinya, Nor Shahila Abd Hamid, 34, hanya mengetahui kejadian pada petang semalam selepas mendapati paha kanan bayi mereka dalam keadaan berbalut.
“Kami dimaklumkan pahanya patah sedangkan semasa dilahirkan pada 28 April lalu melalui pembedahan, keadaannya normal dan mampu menggerakkan anggota badan termasuk kedua-dua kaki dengan baik.
“Saya yang mendukungnya untuk diazankan turut bersyukur selepas dimaklumkan oleh kakitangan wad bersalin yang anak kami tidak mengalami kecederaan, selain ditunjukkan beberapa laporan dan imbasan X-ray yang mengesahkan kesihatannya baik,” dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Muhammad Nor Fadly, anak keempat mereka itu ditempatkan di wad pemerhatian sejak lahir berikutan tahap jaundis tinggi dan kekurangan berat badan ekoran dilahirkan tidak cukup bulan.
Ujarnya, sepanjang tempoh itu isterinya telah tiga kali ke hospital untuk menyusukan anak mereka dan bayi berada dalam keadaan baik termasuk paha yang tidak berbalut sehingga petang semalam.
“Kami kecewa kerana pihak hospital seolah-olah cuba mengelak dan tidak memberikan maklumat lengkap bagaimana paha bayi kami boleh patah sedangkan dia berada di bawah jagaan mereka selama ini.
“Saya ada terima panggilan daripada hospital pukul 3 petang semalam, namun tidak sempat menjawab kerana sedang bekerja. Saya minta isteri hubungi semula untuk bertanya sebelum dimaklumkan anak kami boleh keluar hospital,” jelasnya.
Katanya, sebaik selesai kerja kira-kira pukul 6 petang, dia bersama isteri bergegas ke hospital untuk membuat urusan membawa pulang bayi mereka seperti yang diberitahu.
“Namun apabila tiba di hospital kami bukan sahaja melihat dua kakinya digantung tetapi kesal kerana pihak hospital tidak mengaku menghubungi kami untuk proses pulang itu,” katanya.
Tambahnya, dia kecewa dengan jawapan diberikan dan membuat laporan berkaitan kejadian menimpa bayi mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, tengah hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan, namun tidak dapat mengulas lanjut kerana masih menunggu siasatan dalaman yang dibuat pihak hospital. – KOSMO! ONLINE
habis














