JOHOR BAHRU – Tiga suspek utama kes tetak sampai mati di Bukit Kangkar, Sungai Mati, Tangkak pada Mac lalu bersama seorang suspek yang masih bebas akan dituduh di Mahkamah Tangkak esok.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, operasi selama dua bulan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama IPD Muar dan Tangkak telah berjaya menahan suspek serta lima yang lain pada 28 April hingga 3 Mei lalu.
Katanya, kesemua suspek warga tempatan itu terdiri dari tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 22 hingga 45 tahun ditahan di sekitar Melaka, Muar, Batu Pahat dan Tangkak.
Menurutnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati seorang dari suspek positif dadah.
“Pihak polis turut membuat beberapa rampasan termasuk penemuan beberapa cebisan bahan terbakar dipercayai pakaian, kasut dan stokin yang digunakan suspek semasa kejadian.
“Punca insiden dipercayai perebutan ahli untuk direkrut bagi tambah ahli kemudian timbul salah faham tidak puas hati sebelum berlaku pergaduhan ini.
“Memang berkaitan dengan unsur jenayah kongsi gelap. Mangsa dan kumpulan penyerang adalah dari kumpulan yang lain,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini.
Katanya, kertas siasatan telah dilengkapkan dan tiga suspek bersama seorang suspek yang masih bebas akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tambahnya, suspek yang lain yang kini direman dijadikan saksi pendakwaan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.-KOSMO! ONLINE














