KUALA SELANGOR – Kegembiraan dua beranak angkat pulang selepas memancing bertukar tragedi apabila bot dinaiki mereka karam berhampiran jeti Kampung Kuantan di sini, mengakibatkan seorang pemancing warga emas hilang, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.47 petang itu menyaksikan mangsa berusia 73 tahun gagal ditemui selepas terjatuh ke dalam sungai, manakala anak angkatnya berusia 49 tahun berjaya menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pikul 6.47 petang.
“Pemeriksaan mendapati mangsa berusia 49 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dilaporkan hilang.
“Kedua-dua mereka yang tiada pertalian darah dengan hanya berstatus sebagai bapa dan anak angkat pergi ke lokasi untuk memancing,” katanya malam ini.
Tambah Ashrul, operasi mencari memasuki hari kedua dilakukan menggunakan bot selain teknik ‘surface searching’.
“Radius pencarian seluas satu hingga tiga kilometer ke hulu sungai dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM. Setakat pukul 6.30 petang tadi, tiada petunjuk penemuan mangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














