PETALING JAYA – Seorang wanita sekali lagi ‘tersilap langkah’ apabila dia baru sebulan berkenalan dengan seorang lelaki, namun sudah berani berjanji temu di sebuah hotel untuk melakukan perbuatan dilarang agama.
Wanita yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah intelektual itu kemudiannya terpaksa menanggung benih janin luar nikah, manakala pasangan lelakinya pula enggan bertanggungjawab dan meninggalkannya.
Kisah itu dikongsikan oleh individu bernama Mak Liza yang juga Pengasas Baitus Solehah, iaitu rumah perlindungan bagi gadis-gadis terlanjur menerusi hantaran Facebook.
“Baru sebulan berkenalan di OMI (aplikasi sosial), lelaki ajak dating (janji temu) jumpa di hotel. Bukan ajak pergi makan, sebab ni pengalaman kedua. Dua-dua ada keinginan mencuba lagi. Makan kira belakang.
“Selepas tujuh minggu baru diketahui diri mengandung. Emak berusaha beri ubat untuk menggugurkan kandungan, namun tidak berjaya,” katanya.
Mak Liza berkata, sebelum berkenalan di OMI, wanita itu pernah berkawan dengan lelaki lain sehinggalah dia dimasukkan ke penjara serta menghadapi hukuman.
“Dia ada pengalaman tinggal di penjara. Bercerita pengalaman dalam penjara, menempatkan lapan orang satu sel. Ada double decker (katil dua tingkat), tanpa tilam dan bantal, diberi satu selimut, satu tuala dua pasang uniform, berus gigi, ubat gigi, sabun mandi dan sabun buku untuk cuci pakaian.
“Pakaian dalam harus sendiri punya. Tuala wanita diberikan. Sehari diberi tiga kali makan, sarapan pagi hari-hari bubur. Tengah hari dan petang baru diberi makan nasi.
“Dia ditangkap ketika bermalam di homestay (rumah inap) bersama dua lelaki yang tengah lalok syabu. Naik mahkamah terus jatuh hukum kerana ada ‘barang’ waktu diserbu. Dipenjara lapan bulan,” katanya.
Mak Liza berkata, wanita itu kemudian dibebaskan serta bekerja sebagai pekerja pembersihan dan kemudian berkenalan pula dengan seorang lelaki menerusi OMI.
“Namun apabila mengandung, ditinggalkan pula. Itu yang emak hantar ke Baitus Solehah. Di luar kawalan emak, berkawan dengan orang tak keruan. Emak trauma untuk biarkan di rumah sebab emak bekerja.
“Dengan telefon, dia bebas menghubungi siapa sahaja tanpa memikir baik buruk. Dia memang memiliki kad OKU masalah intelektual. Orangnya kurang cerdik dan kurang bijak dalam membuat keputusan. Dan yang cerdik ambil kesempatan.
“Kiranya dia mangsa keadaan. Tak ada siapa yang mahu terjebak dengan dadah dan maksiat. Oleh kerana kurang cerdik, tidak tahu membeza baik buruk, halal haram,” katanya. – KOSMO! ONLINE














