JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO akan mengadakan perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong (YDP) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas selesai menghadap dan mendapat perkenan pihak istana.
“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia hari ini tidak sentuh langsung mengenai perkara itu (PRN Johor). Kita banyak bincangkan isu-isu nasional yang besar tetali secara seriusnya, saya ingin menyatakan bahawa ini adalah merupakan hanya mesyuarat biasa.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Johor setelah perkenaan daripada Tuanku berdua,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia di Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di Istana Besar di sini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa tiada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor atau PRN akan diadakan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE














