fbpx
LELAKI Bangladesh (kiri) direman bagi membantu siasatan kes salah guna kuota Budi95 di Mahkamah Majistret Sik, hari ini.

Tinggal di Selangor, nombor MyKad digunakan beli RON95 di Baling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIK – Seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak di Baling ditahan berhubung kes kehilangan kuota subsidi Budi Madani RON95 (Budi95) milik seorang peniaga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, penahanan ke atas suspek berusia 34 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 57 tahun dari Selangor berhubung penyalahgunaan kuota subsidi tersebut.

Katanya, lelaki itu mendakwa menyedari perkara tersebut ketika berada di sebuah stesen minyak di Setia Alam, Shah Alam pada 8 April lalu sebelum membuat semakan melalui aplikasi Budi95.

“Semakan mendapati berlaku transaksi pengisian petrol subsidi RON95 menggunakan nombor kad pengenalannya di sebuah stesen minyak di Kupang, Baling.

“Siasatan mendapati bermula 18 Mac hingga 8 April lalu, sebanyak enam transaksi isian minyak menggunakan nombor kad pengenalan pengadu direkodkan berjumlah 309.038 liter membabitkan kerugian RM1,242.33,” katanya hari ini.

Susulan itu, pihak polis menahan suspek semalam sebelum direman selama empat hari bermula hari ini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati terdapat penglibatan individu rakyat tempatan yang masih diburu bagi membantu siasatan kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Polis memandang serius kejadian tersebut dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui talian MERS 999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN