KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) terus mempergiat operasi membanteras penyeludupan migran menerusi pelbagai pendekatan strategik melibatkan kawasan perairan Selangor hingga Johor.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi itu bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan dan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara lebih efektif dan bersepadu.
Menurutnya, kejayaan tangkapan dilaksanakan hasil koordinasi elemen infantri di Pos Op Taring Nyah 1 Selangor dan Johor dan Task Force Delta Briged Tengah PGA.
“Bermula 1 Januari sehingga hari ini, kita melakukan 38 serbuan dan seramai 335 migran ditahan terdiri daripada 237 lelaki dewasa, 96 wanita dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan 37 individu dipercayai tekong darat dan tekong laut. Mereka terdiri daripada lima lelaki tempatan, 29 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Myanmar.
Pihak berkuasa itu merampas 20 buah kenderaan, tiga bot dan 57 buah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan RM1.6 juta.
Semua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan sama, katanya, sebanyak 159 serbuan dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dalam tempoh sama.
“Hasil operasi tersebut, seramai 551 individu ditahan melibatkan pelbagai jenis rampasan bernilai RM242 juta,” katanya.
Orang ramai diminta menjadi ‘mata dan telinga’ polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan migran bagi memastikan negara tidak dicerobohi elemen yang melanggar undang-undang. – KOSMO! ONLINE














