SHAH ALAM – Kertas siasatan kes seorang lelaki yang ingkar titah Sultan Selangor berhubung pelaksanaan solat Jumaat di Surau Taman Saraya, Ampang telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, proses siasatan kes ke atas suspek berusia 46 tahun itu telah dilengkapkan pihaknya setakat ini.
“Kita telah menyerahkan kertas siasatan itu kepada pejabat TPR Selangor bagi tindakan dan arahan selanjutnya.
“Kes itu setakat ini didapati tiada dipengaruhi unsur luar dan hanya elemen dalaman melibatkan suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Menurut beliau, setakat ini hanya seorang suspek terlibat dalam kes berkenaan dan lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kosmo! sebelum ini melaporkan suspek ditahan sekitar Pandan Indah, kira-kira pukul 3 petang, 26 Apri lalu dengan rampasan sebuah komputer riba, telefon bimbit dan beberapa dokumen berkaitan.
Siasatan mendapati tindakan suspek berkenaan didorong rasa tidak puas hati susulan jalan sesak akibat solat Jumaat di lokaliti itu.
Berdasarkan siasatan juga menunjukkan suspek tidak bekerja untuk tempoh tertentu dan bermastautin di kawasan perumahan berkenaan dalam tempoh munasabah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE














