fbpx
Md Jakir ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini.

Lelaki Bangladesh didenda RM10,000, guna Mykad beli petrol Budi95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan Mykad milik individu lain bagi pembelian petrol Budi95.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Md Jakir Hossain, 50, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya. Tertuduh turut berdepan hukuman penjara 14 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Md. Jakir yang bekerja sebagai pembantu stesen minyak didapati memiliki dan menggunakan dua kad pengenalan lelaki dan wanita tempatan berusia 25 dan 31 tahun yang bukan kepunyaan tertuduh bagi tujuan pembelian petrol bersubsidi.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang di sini antara 8 Februari dan 22 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Low Carmen memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dengan alasan tertuduh mempunyai penyakit jantung dan merupakan penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan hukuman setimpal kerana dalam kes ini kedua-dua mangsa mengalami kerugian.

“Tertuduh mempunyai pilihan untuk memulangkan Mykad, tapi tertuduh membeli petrol walaupun dia tahu itu bukan miliknya,” kata Hench Goh.

Berdasarkan fakta kes, seorang wanita berusia 31 tahun menyatakan pada 22 April lalu dia mendapati baki subsidi Budi95 berkurangan daripada 94.937 liter kepada 44.637 liter.

Pengadu mengesyaki kad pengenalannya digunakan tanpa izin untuk mengisi minyak. Setelah menghubungi Budi Madani Contact Centre, mangsa dimaklumkan berlaku lima transaksi pembelian petrol yang mencurigakan di sebuah stesen minyak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN