HULU TERENGGANU – Balu Muhammad Syukri Bazli bersyukur dan gembira dengan kejayaan pembedahan pemindahan organ yang diderma suaminya kepada tiga individu.
Nurul Hanis Amelia Ramli, 32, berkata, dia dimaklumkan tiga individu terbabit yang masing-masing menerima organ buah pinggang dan hati suami kini dalam keadaan stabil setelah menjalani prosedur pembedahan baru-baru ini.
“Biarpun tidak mengenali identiti kesemua penerima, saya tetap gembira dan bersyukur mereka kini dapat memulakan fasa kehidupan baharu dengan organ suami saya.
“Saya sentiasa titip doa agar ketiga-tiganya terus dikurnia kesihatan baik bagi menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya di Kampung Peroh, Ajil, di sini semalam.
Katanya, dia dimaklumkan salah satu buah pinggang arwah suaminya diderma kepada wanita berusia 47 tahun yang menjalani rawatan dialisis sejak sembilan tahun lalu.
Ibu kepada tiga anak berusia setahun hingga enam tahun itu berkata, satu lagi buah pinggang arwah suaminya (Syukri, 31) pula diterima seorang remaja lelaki berumur 19 tahun.
“Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pula menerima hati arwah suami,” katanya.
Nurul Hanis Amelia berterima kasih dengan tahap profesionalisme tinggi ditunjukkan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menunaikan amanah arwah suaminya untuk mendermakan organ.
Ujarnya, dia tidak kisah tidak mengenali identiti penerima asalkan hasrat arwah suami untuk menderma organ telah ditunaikan.
“Pendermaan organ tersebut sumbangan terakhir arwah suami yang memberi harapan baharu kepada orang lain.
“Harapan saya agar kisah arwah suami dapat membuka mata masyarakat tentang kepentingan pendermaan organ,” katanya.
Kosmo! 27 April lalu melaporkan, Muhammad Syukri menerima penghormatan ‘walk of honor’ oleh kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah sebagai tanda penghargaan kepada arwah yang menyumbang organ kepada individu memerlukan.
















