MUNICH – Pengarah Sukan Bayern Munich, Max Eberl menyuarakan keyakinan pasukan itu mampu mencatat kemenangan ke atas Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Allianz Arena awal pagi esok.
Walaupun tewas 4-5 pada pertemuan pertama di Paris minggu lalu, namun skuad Bavarians itu perlu mencatat kemenangan dengan defisit dua gol bagi membolehkan mereka meneruskan kemaraan ke final dalam tempoh 90 minit.
Eberl berkata, walaupun corak pertahanan mereka berdepan kritikan selepas melepaskan lima gol minggu lalu tetapi beliau menegaskan, Bayern tidak akan mengubah pendekatan tersebut ketika melayan kunjungan PSG.
Sebaliknya, mereka akan kekal dengan corak permainan sedia ada kerana menganggap falsafah bola sepak seperti itu sudah banyak membantu Bayern mencatat kemenangan dan meraih pelbagai gelaran.
“Anda tidak boleh mengubah DNA asas dalam mana-mana pasukan kerana itulah yang membantu kami berjaya selama ini. Perlawanan pertama menentang PSG sebelum ini merupakan aksi bola sepak yang menakjubkan.
“Menjelang perlawanan kedua nanti, kami hanya perlu menjaringkan satu gol bagi menyamakan kedudukan agregat. Jika mahu memastikan kami terus layak ke final, Bayern perlu menang dengan perbezaan dua gol,” katanya.
Juara Bundesliga itu pastinya terdesak untuk memastikan kemaraan ke pentas final buat kali pertama dalam tempoh enam tahun selepas kali terakhir melakukannya ketika menjadi juara bagi edisi 2019/20.
Sementara itu, legenda Bayern, Thomas Muller juga percaya pasukan tersebut akan melangkah ke perlawanan akhir berdasarkan faktor bermain di laman sendiri selain kualiti pemain yang dimiliki.
“Aksi kedua nanti akan lebih berbeza berbanding minggu lalu kerana kedua-dua pasukan sudah ada sasaran masing-masing. Bagaimanapun, PSG hanya memiliki kelebihan satu gol dan Bayern akan bermain di laman sendiri,” ujarnya. – AGENSI














