fbpx
SEORANG lelaki warga emas yang juga pemandu van ditahan bagi membantu siasatan kes murid Tahun 2, Nur Aini Umairah yang maut dilanggar di hadapan SK Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat hari ini. Foto IHSAN POLIS

Pemandu van langgar mati murid perempuan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Seorang pemandu van ditahan polis selepas terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika mangsa yang juga murid Tahun 2 sekolah berkenaan sedang berjalan kaki di hadapan pintu pagar utama.

“Siasatan awal mendapati sebuah van yang dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun itu baru sahaja selesai menghantar barang di dalam kawasan sekolah sebelum bergerak keluar menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.

“Ketika melalui pintu pagar utama sekolah, kenderaan tersebut dipercayai melanggar mangsa yang berada di laluan hadapan pintu pagar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.

Beliau berkata, pemandu van berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan namun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dipercayai baru sahaja tamat sesi persekolahan dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama pelajar lain.

Menurut maklumat awal, van terbabit dikatakan melalui kawasan berkenaan sebelum berlaku pelanggaran yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sekali gus mengundang suasana pilu dalam kalangan rakan-rakan sekolah serta orang awam yang berada di tempat kejadian.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN