MACHANG – Empat sekeluarga termasuk dua beradik parah selepas motosikal yang ditunggang merempuh kereta dinaiki guru di Kilometer (KM) 51.4, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, mangsa, Muhammad Muskir Rosli, 14, bersama adiknya, Mas Siti Rosnani, 7, serta dua anak saudara mereka iaitu Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Honda Jazz dipandu wanita berusia 39 tahun dalam perjalanan dari arah Machang menghala ke Kuala Krai.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda C100 dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai secara tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki simpang.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut merempuh bahagian sisi kanan hadapan kereta tersebut yang ketika itu berada di laluan yang sah.
“Keempat-empat mangsa mengalami kecederaan parah, manakala pemandu Honda Jazz dan seorang penumpang tidak cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azuhar berkata, siasatan awal mendapati, Muhammad Muskir merupakan pelajar SMK Seri Intan, manakala adik dan dua anak saudaranya belajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Pek di sini.
Katanya, keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE















