fbpx
AHMAD ZAHID dan Onn Hafiz bersama kepimpinan BN mengangkat tangan setelah parti itu memenangi PRN Johor ke-16 di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

PRN Johor: Kemenangan besar BN bukti rakyat yakin kepimpinan Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan besar BN yang berjaya meraih 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sebagai bukti jelas keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan prestasi kerajaan negeri sepanjang empat tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengatasi pencapaian BN pada PRN Johor 2022 yang memenangi 40 kerusi, malah membuktikan rakyat terus memberikan kepercayaan kepada gabungan itu untuk meneruskan agenda pembangunan Johor.

“Alhamdulillah, berdasarkan keputusan yang kita terima, BN telah melepasi 40 kerusi DUN. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor kerana sekali lagi memilih BN untuk mentadbir negeri ini.

“Kemenangan ini adalah kejayaan rasmi BN, tetapi ia juga merupakan kejayaan peribadi Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah menunjukkan rekod pentadbiran terbaik sepanjang hampir empat tahun menerajui Johor,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama BN Johor di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata, kemenangan besar itu tidak akan menjadikan BN alpa, sebaliknya menjadi amanah besar untuk menunaikan segala janji yang terkandung dalam manifesto 63 Tekad Maju Johor.

Menurut beliau, kerajaan negeri baharu yang bakal dibentuk dengan perkenan Sultan Johor akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat.

“Kami tidak akan bermegah dengan kemenangan ini. Sebaliknya kami insaf dan akan mentadbir dengan penuh rendah hati. Segala janji yang dibuat kepada rakyat akan kami laksanakan dan ibu pejabat BN sendiri akan memantau prestasi kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut berharap kemenangan besar BN di Johor menjadi pemangkin kepada kebangkitan gabungan itu dalam pilihan raya akan datang, selain menyeru seluruh rakyat negeri ini mengetepikan perbezaan politik.

“Pilihan raya sudah selesai. Kini masanya seluruh Bangsa Johor kembali bersatu, merapatkan saf dan bersama-sama membangunkan Johor sehingga muncul sebagai negeri paling maju di Malaysia menjelang tahun 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN