PAGOH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa perlu mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan susulan kelemahan pengurusan gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke -16.
Menurut sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kekalahan PN berpunca daripada beberapa faktor termasuk persiapan kempen yang lewat serta isu hubungan antara parti komponen.
Katanya, keputusan memutuskan hubungan antara Bersatu dan Pas sebelum PRN Johor turut memberi kesan kepada persepsi pengundi terhadap PN.
“Pengerusi PN patut letak jawatan atas tanggungjawab dan semua kelemahan menguruskan PRN ini. Beliau gagal mempersiapkan PN untuk masuk PRN Johor dan juga persiapan bagi pilihan raya negeri akan datang.
“Ini termasuklah isi peruntukan, bendera, bahan-bahan kempen yang hanya dilakukan pada saat akhir. Kita masuk PRN dalam keadaan kita nak kalah, bukan nak menang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau turut mendakwa wujud tindakan yang dilihat sebagai sabotaj daripada pihak tertentu termasuk Pas mengeluarkan kenyataan enggan membantu rakan komponen dalam PN ketika menghadapi PRN Johor.
“Bila ada kenyataan tidak mahu membantu Bersatu dan tindakan tertentu ketika pilihan raya, ia memberi kesan kepada gerak kerja PN serta menjejaskan peluang gabungan ini.
“Pas kata undi BN di kawasan yang kita tidak tanding, apa maksudnya?. Kita masuk PRN untuk maksimumkan kemenangan PN, macam mana pula kita buat kenyataan undi pihak lain,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, terdapat rundingan di belakang tabir melibatkan Pas sebelum PRN Johor yang dikatakan bukan untuk kepentingan PN secara keseluruhan, sebaliknya dibuat atas kepentingan parti berkenaan.
Katanya, tindakan berasingan oleh parti komponen itu memberi gambaran seolah-olah PN tidak bergerak sebagai satu pasukan dalam menghadapi pilihan raya. – KOSMO! ONLINE















