ISKANDAR PUTERI – Barisan Nasional (BN) kini mendahului dengan selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila berjaya meraih 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat pukul 10.32 malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Barisan Nasional (BN) kini boleh membentuk kerajaan negeri baharu selepas berjaya memenangi kerusi tersebut sekali gus menguasai majoriti dua pertiga DUN Johor.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata sehingga waktu yang sama turut menyaksikan Pakatan Harapan (PH) sekadar memenangi dua kerusi.
Menurutnya parti lain bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN), Bersama, Muda, Asli, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta calon-calon Bebas masih mencatatkan sifar kerusi.
“Bagi keseluruhan pengundi sehingga pukul 10.32 malam BN telah memenangi sejumlah 29 kerusi daripada 56 kerusi yang diperuntukkan.
“Dan dengan ini telah berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan, ” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama SPR di Bangunan Sultan Ismail, hari ini. – KOSMO! ONLINE















