PAGOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Barisan Nasional (BN) atas mandat baharu yang diberikan pengundi Johor pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Johor Ke-16 hari ini.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu menerima keputusan pengundi-pengundi Johor yang memberikan sokongan kepada calon-calon Bersatu di 16 kawasan yang ditandingi atas tiket Perikatan Nasional (PN).
“Demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat adalah asas penting untuk kemajuan negara. Secara keseluruhan, jumlah undi yang diterima adalah baik dan tapak sokongan ini akan terus diperluaskan di masa depan.
“Bersatu juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang telah bekerja keras membantu calon-calon dalam semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan parti,” katanya.
Ujarnya lagi, parti itu akan turut meneliti keputusan pilihan raya secara terperinci dan ‘bedah siasat’ akan dilakukan untuk mengenalpasti beberapa langkah strategik bagi memperkukuhkan perjuangan Bersatu dalam membawa agenda rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE















