fbpx
Shamsul Anuar (tengah) ketika menyempurnakan gimik peluncuran pada PSD V 2026 di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

PDRM perlu beralih kepada kepolisan moden hadapi ancaman baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu segera beralih kepada paradigma kepolisan moden berteraskan integrasi teknologi dan perkongsian maklumat secara holistik bagi mendepani ancaman keselamatan semasa yang semakin kompleks dan rentas sempadan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, landskap ancaman keselamatan ketika ini tidak lagi hanya tertumpu kepada jenayah konvensional.

Sebaliknya, beliau berkata, ia turut melibatkan jenayah siber, penipuan kewangan digital serta aktiviti sindiket terancang yang mampu menggugat kedaulatan negara.

“Justeru, paradigma kepolisan moden harus segera berganjak ke arah integrasi teknologi dan perkongsian maklumat yang lebih holistik bagi memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan,” katanya ketika berucap pada Program Polis Diraja Malaysia Special Dialogue (PSD V) 2026, di sini, hari ini.

Menurut Shamsul Anuar, tema program ini iaitu ‘Synergized Policing: Securing the Future Together’ amat signifikan dan bertepatan dengan cabaran keselamatan masa kini yang semakin rencam.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 31 sesi melibatkan forum, bengkel teknikal dan pameran diadakan sepanjang dua hari program tersebut bagi mengetengahkan solusi terhadap isu keselamatan maritim, narkotik dan inovasi penguatkuasaan.

Katanya, program berkenaan turut menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk 200 delegasi kenamaan serta penyertaan 135 syarikat tempatan dan antarabangsa.

“Ini membuktikan kedudukan PSD V sebagai platform berwibawa dalam memacu kolaborasi operasi dan pembangunan dasar keselamatan di peringkat serantau,” ujarnya.

Pada majlis sama, PDRM dan Universiti Sains Malaysia (USM) turut memeterai pembaharuan Memorandum Perjanjian (MoA) dalam bidang Sains Forensik.

Menurut Shamsul Anuar, kerjasama akademik dan industri itu merupakan pelaburan jangka panjang dalam meningkatkan kompetensi teknikal serta kepakaran forensik warga

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim yang turut hadir berkata, kementeriannya menyasarkan kerjasama strategik seumpama itu diperluas antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi penguatkuasaan bagi memartabatkan profesionalisme menerusi pemerkasaan disiplin ilmu.

Beliau berkata, hubungan antara USM dan PDRM bukanlah satu perkara baharu memandangkan kerjasama tersebut telah pun terjalin sejak tahun 2016 serta terbukti memberikan impak positif kepada kedua-dua belah pihak.

“Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan saya harap ia dapat diteruskan sebagai wadah dalam kita mengangkat institusi-institusi dalam negara. Ia tidak terhad kepada kekuasaan semata-mata, tetapi juga pemerkasaan berdasarkan disiplin ilmu dan sebagainya.

“Sinergi yang telah berlangsung bertahun-tahun ini seharusnya dirakyatkan. Saya juga berterima kasih kepada pihak PDRM atas kepercayaan mereka terhadap institusi pendidikan tinggi kita, khususnya USM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN