PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia 30-an ditahan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, dimuat naik melalui akaun Facebook semalam.
Penahanan lelaki tersebut dibuat pukul 7.10 malam hari ini oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pasukan serbuan merampas dua unit telefon bimbit jenama Samsung berserta kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran.
“Setakat ini 12 laporan polis diterima atas isu yang sama di seluruh negara, manakala permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kesejahteraan negara.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan menggunakan platform ini dengan berhemah dan bertanggungjawab.
“PDRM komited untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, demi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














