fbpx
Gambar hiasan.

NSRC pulangkan RM9.24 juta wang mangsa penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas dan penyelarasan pelbagai agensi menerusi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berjaya memulangkan semula RM9.24 juta kepada mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 12 Oktober hingga 31 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sepanjang tempoh tersebut, NSRC menerima sebanyak 363,817 panggilan berkaitan penipuan dengan 77,771 laporan polis direkodkan.

Menurut beliau, hasil pemantauan dan tindakan susulan turut membawa kepada pengesanan 296,567 akaun bank yang dikaitkan dengan aktiviti penipuan melibatkan kerugian keseluruhan mencecah RM1 bilion.

“Bagi tempoh tiga bulan setakat Mac tahun ini sahaja, jumlah panggilan diterima NSRC sebanyak 55,619 dengan 11,486 laporan polis dibuat.

“Jumlah akaun dikesan pula sebanyak 41,389 melibatkan kerugian mencecah RM101.79 juta, manakala sitaan dilaksanakan berjumlah RM4.23 juta. Tempoh tiga bulan ini juga mencatatkan RM1.93 juta wang pemulangan kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan keupayaan NSRC sebagai pusat tindak balas segera dalam menangani jenayah penipuan, khususnya dari segi pengesanan aliran kewangan, pembekuan akaun serta usaha mengembalikan wang kepada mangsa.

Tambahnya, kerjasama erat antara agensi penguat kuasa dan institusi kewangan terus diperkukuh bagi memastikan tindakan lebih berkesan dapat dilaksanakan dalam membanteras jenayah komersial.

“Hubungi NSRC segera melalui talian 997 sekiranya menjadi mangsa dan mempunyai sebarang maklumat jenayah penipuan dalam talian,” ujarnya.

Rusdi berkata, pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan termasuk menjejaki dalang utama, rangkaian kewangan serta individu yang bersubahat dalam kegiatan berkenaan.

NSRC merupakan platform kerjasama melibatkan pelbagai agensi termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta pihak industri kewangan dan telekomunikasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN