PETALING JAYA – Jalan Tuanku Abdul Halim berhampiran terminal bas Hentian Duta yang sebelum ini tular akibat kerosakan teruk dan berlubang sehingga menyebabkan banyak kenderaan rosak, kini dilaporkan telah selesai diturap pihak berkuasa.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam hantaran di Facebook memaklumkan, kerja-kerja turapan dijalankan pada pukul 10.44 malam, Ahad lalu.
Kerja-kerja penurapan itu difahamkan dilakukan pada hari yang sama hantaran mengenai keadaan jalan raya tersebut tular di media sosial.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan keadaan jalan berlubang di jalan utama bersebelahan terminal bas Hentian Duta mengundang kebimbangan pengguna jalan raya selepas banyak kenderaan rosak termasuk tayar pecah sejak beberapa hari lalu.
Menerusi perkongsian tular di Threads @Nashihinz, dia mendakwa banyak kenderaan termasuk bas terkesan akibat lubang besar berkenaan sehingga terpaksa berhenti di tepi jalan, pada malam tadi.
Menurut wanita itu, situasi tersebut amat berbahaya terutama ketika hujan lebat kerana lubang berkenaan sukar dilihat pengguna jalan raya.
Malah, wanita tersebut turut memaklumkan seorang penunggang motosikal dilaporkan sudah terjatuh dipercayai akibat keadaan jalan itu. – KOSMO! ONLINE














