TANGKAK – Tiga lelaki termasuk seorang ahli pertubuhan kongsi gelap dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak di sini, hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang di khalayak ramai hingga maut, dua bulan lalu.
Tertuduh, Pan Wei Siang, 24, Henry Lau Yi Sheng, 26, dan Tan Ah Chai, 32, namun hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.
Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Tong Wee Sheng, 38, di tepi sebuah rumah di Batu 9, Bukit Kangkar, Sungai Mati di sini, pada pukul 7.20 malam, 13 Mac lalu.
Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dikenakan dihukum gantung.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam sementara Mohd Razak Shariff bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu memandangkan belum menerima laporan forensik dan bedah siasat serta tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 14 Julai ini untuk serahan dokumen.
Di mahkamah sama, Ah Chai berhadapan satu lagi pertuduhan kerana didakwa menganggotai pertubuhan ‘Hong Hong San’ yang tidak didaftarkan.
Kesalahan itu dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, pada pukul 7.45 malam, 28 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama.
Namun, tertuduh mengaku tidak bersalah dengan kes disebut semula pada 9 Jun ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Dalam kejadian itu, Wei Sheng disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang.
Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya pergi ke lokasi kejadian untuk berjumpa dengan anggota kumpulan terbabit, dengan muncul beberapa buah kereta yang dinaiki suspek.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dikejar tiga lelaki masing-masing membawa parang serta menutup muka dengan baju sejuk serta topeng. – KOSMO! ONLINE














