SEPANG – Keselesaan jemaah di Tanah Suci terus menjadi keutamaan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) di mana setiap aduan dilaporkan pelanggan akan diselesaikan segera oleh setiap petugas.
Pengarah Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, dalam konteks ini, setiap petugas dilatih secara profesional bagi menawarkan perkhidmatan berkualiti kepada jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Setakat ini, semua jemaah memberi pujian yang baik (kepada perkhidmatan Andalusia) berikutan kita telah memberikan kursus intensif kepada setiap petugas sebelum ini.
“Kita minta mereka pastikan supaya tiada rungutan dan sehingga ini tiada aduan serius daripada jemaah.
“Sebelum ini, kita ada satu aduan dibuat jemaah di mana bilik suami dan isteri di aras berbeza, namun dalam tempoh beberapa jam saja ia berjaya diselesaikan,” katanya kepada Kosmo! di Pusat Konvensyen Movenpicks di sini tadi.
Terdahulu, Md. Daud menghantar seramai 124 jemaah Andalusia kumpulan terakhir sewa khas Tabung Haji untuk berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines pada pukul 5.30 petang ini.
Kesemua mereka akan berlepas ke Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jemaah Andalusia pada tahun ini kira-kira 500 orang.
Dalam perkembangan sama, Md. Daud berkata, Andalusia turut menyediakan kira-kira 39 barangan kelengkapan termasuk bagasi, buku panduan dan ubat-ubatan kepada setiap jemaah bagi memastikan keselesaan mereka.
“Kita tawarkan kemudahan yang agak mencukupi untuk jemaah dan semuanya ada 39 barangan, segalanya telah kita lengkapkan.
“Ini kemudahan kita tawarkan pada jemaah supaya mereka tidak perlu cari lagi kelengkapan dan harganya juga melebihi RM200,” ujarnya.
Pada masa sama, Md. Daud berkata, Andalusia turut menghantar kira-kira 50 jemaah mujamalah pada tahun ini dengan penerbangan ke Tanah Suci akan dibuat secara berperingkat.
“Kita ada kira-kira 50 jemaah mujamalah yang mana tawaran itu dibuat pihak Arab Saudi kepada ejen tertentu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














