PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan rasmi dalam kandungan yang mempromosikan khidmat pengiring polis bagi konvoi kenderaan mewah seperti tular di media sosial.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam satu hantaran di Instagram memaklumkan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran, sokongan mahupun pengendorsan kepada mana-mana pihak untuk menggunakan imej, logo atau menyerupai anggota polis trafik bagi tujuan promosi atau publisiti.
Menurut kenyataan itu, kandungan yang dimuat naik oleh akaun Instagram madeinmalaysia.com.my adalah tidak sah dan mengelirukan orang ramai.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan identiti pasukan demi kepentingan tertentu serta menyebarkan kandungan yang mengelirukan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














