fbpx
Tangkap layar kejadian kemalangan di Jalan Ampang, semalam.

Lelaki positif dadah rempuh 2 kenderaan ketika lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis mengundang padah apabila dia direman selepas terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ampang di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian sebenar berlaku kira-kira pukul 6.15 petang di Jalan Ampang dari arah Ampang menghala ke KLCC berhampiran Hospital Gleneagles.

Menurut beliau, polis terlebih dahulu mengesan satu video tular mengenai kejadian itu di media sosial kira-kira pukul 10 pagi tadi sebelum siasatan lanjut dijalankan.

“Hasil siasatan mendapati suspek berusia 31 tahun yang memandu Perodua Bezza putih gagal berhenti selepas diarahkan pasukan MPV Ampang.

“Suspek kemudian bertindak melarikan diri sehingga bermula dari kawasan Pandan Indah hingga ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebaik tiba di Jalan Ampang, suspek dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar dua kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

“Kenderaan terlibat ialah sebuah Perodua Aruz dipandu wanita berusia 42 tahun dan sebuah lagi Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 35 tahun.

“Kemalangan hanya melibatkan kerosakan kenderaan dan tiada kecederaan dilaporkan,” ujarnya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut menemukan dadah disyaki pil yaba seberat 4.7 gram dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Ampang bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN