PETALING JAYA – Tindakan dua lelaki membantu menolak sebuah motosikal yang mengalami kerosakan di tepi jalan mendapat pujian ramai selepas rakaman kejadian tersebut tular di media sosial.
Menerusi rakaman video berdurasi 39 saat dimuat naik pengguna TikTok @kyrashakira244, memaparkan seorang wanita menolak motosikalnya di lorong kanan dengan keadaan jalan raya yang sesak ketika pulang dari kerja.
Wanita tersebut kelihatan berjaga-jaga kerana bimbang dilanggar kenderaan lain dari arah belakang selain keadaannya dilihat sangat penat disebabkan terpaksa menolak motosikal seorang diri.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku berdekatan KL Gateway Mall menghala ke Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur petang semalam.
Bagaimanapun selang beberapa minit, sebuah kenderaan berhenti berdekatan wanita tersebut dan dua individu turun membantu menolak motosikal itu, selain seorang pemandu membantu melindungi ketiga-tiga mereka dengan mengekori secara perlahan.
Perkongsian tersebut mendapat pujian ramai dan rata-ratanya berterima kasih dengan sikap prihati yang ditunjukkan oleh beberap individu terlibat membantu wanita itu.
“Inilah Malaysia. Sentiasa peka dengan kesusahan orang lain dan segera beri bantuan,” kata Hanna.
“Di Malaysia ini masih ada insan-insan yang berhati mulia tak kira agama serta bangsa. Alhamdulilah,” kata Misszz Sara.
“Terima kasih kepada yang membantu, semoga dimurahkan rezeki,” puji Yusofalhadi. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














